Gelombang tsunami Maher Zain

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN dan MOHD. SHAHARANI SAIBI

AKSI Maher Zain sewaktu membuat persembahan pada sidang akhbar yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

APABILA dia duduk dan menyelak kembali lembaran hidupnya, Maher Zain tidak pernah menyangka dia mampu mengecapi nikmat kemewahan seperti hari ini.

Jauh sekali untuk meraih populariti mahupun kemasyhuran, apa yang dimahukan Maher hanyalah untuk masyarakat mendapat mesej yang berguna daripada karyanya.

Baginya, jika pendengar dan masyarakat dapat menikmati alunan lagu-lagunya serta menghayati karyanya dengan penuh jiwa, itu sudah menjadi satu kejayaan yang membanggakan dirinya.

"Saya sendiri tidak pernah menyangka yang satu hari nanti muzik saya diterima dengan baik seperti sekarang.

"Muzik yang saya cipta semuanya lahir dari hati yang tulus serta sarat dengan perasaan cinta yang ingin saya tujukan kepada semua manusia di dunia ini tanpa sebarang rasa prejudis.

"Kerana itu, saya bangga dan gembira kalau pendengar sendiri mempunyai perasaan yang sama. Ia jelas menunjukkan dakwah saya menerusi muzik berjaya membuahkan hasil seperti mana yang saya mahukan," ujar jejaka berusia 28 tahun ini bersungguh.

Kunjungan Maher ke negara ini sememangnya mendapat perhatian yang cukup meluas dan memang tidak keterlaluan dikatakan, dia telah mencetus fenomena baru sehingga mampu menjadi kegilaan ramai.

Bayangkan tiket-tiket untuk menyaksikan persembahannya, Save The Soul pada di Auditorium Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, malam ini dan esok sudah habis dijual.

Semua itu berlaku hanya dalam tempoh seminggu sebaik sahaja tempahan dibuka pertengahan September lalu.

Kerana itu, ramai yang hampa dan kecewa apabila tidak berpeluang untuk menikmati alunan muzik Maher yang sememangnya cukup menyentuh jiwa itu.

Kadang-kala tertanya juga mengapa Maher boleh menjadi kegilaan rakyat tempatan. Kemunculannya juga bagaikan menyemarak kembali pasaran muzik nasyid yang pernah gah satu ketika dulu.

Biarpun nuansa R&B menjadi tunjang muzik Maher, harus diakui muzik yang dibawakannya telah mengubah persepsi masyarakat bahawa irama nasyid boleh dipelbagaikan asalkan ia masih lagi berada di landasan seperti yang telah disyariatkan.

Dunia seni Maher

Sebelum mengorak langkah sebagai seorang penyanyi, Maher terlebih dahulu memulakan karier seninya sebagai penerbit album serta aktif dengan kerja belakang tabir di sebuah studio muzik terkemuka di New York, Amerika Syarikat.

Ketika itu, dia telah berkerjasama dengan nama-nama besar industri hiburan seperti Kat Deluna dan Lady Gaga dalam penerbitan album mereka.

Namun, pertemuannya dengan RedOne telah merobah segala-galanya dan bermula detik itu, Maher semakin yakin dengan langkah seninya.

Tanpa segan-silu, dia menghulurkan pita rakaman nyanyiannya kepada RedOne yang ternyata terpikat dan terus menawarkan peluang kepada Maher untuk bergelar seorang penyanyi.

Biarpun memiliki kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Aeronautikal, namun, jiwanya yang sudah diabadikan untuk muzik mengatasi segala-galanya.

Berbicara mengenai album perdananya, Thank You Allah yang mula dipasarkan tahun lalu, Maher tidak henti-henti mengucapkan syukur dengan kejayaan yang dikecapi hanya daripada sebuah album sahaja.

Sebaik sahaja ia dilancarkan, Thank You Allah terus menduduki tangga pertama dalam carta album World Music seperti mana yang dicatatkan oleh Amazon.com.

"Saya memang mencintai muzik dan kerana itu, sebahagian daripada hidup saya dihabiskan dengan muzik dari pelbagai genre. Tetapi, semuanya gagal memikat hati saya sehinggalah saya menemui muzik yang benar-benar menakluk jiwa saya.

"Album pertama saya ini memberi gambaran jelas tentang identiti saya sendiri sebagai seorang Muslim. Biarpun muziknya moden, dalam masa yang sama, saya tidak harus melupakan akar umbi keturunan saya," ceritanya lagi.

Mencipta populariti dalam masa yang singkat, tidakkah Maher gusar seandainya dia bakal menjadi seorang penyanyi yang bermusim?

"Kejayaan yang dimiliki sekarang tidak boleh dijadikan satu jaminan untuk terus berjaya di masa hadapan.

"Saya tidak mahu menghasilkan muzik yang sama dan mahu terus bekerja keras agar saya dapat mampu bertahan lama dalam industri seni.

"Kalau boleh, saya juga mahu melihat karya dan muzik saya diterima dengan baik di seluruh dunia tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.

"Setakat ini, saya menerima maklum balas yang cukup positif daripada orang ramai dan apa yang membanggakan apabila ada yang masuk Islam selepas mendengar dan menghayati album saya," ucapnya yang begitu mengagumi kumpulan nasyid Raihan sambil menyatakan keinginannya untuk berkolaborasi dengan mereka.

Comments

Popular Posts