Bercouple Atau Jual Mahal

Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber'dating' sebelum melangkah ke alam perkahwinan?

Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?

Bukan begitu. Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen.

Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah.

Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti.

Tetapi saya memang bingung.

Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.

Cinta Monyet

Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet.

Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar.

Ada sahaja rakan-rakan yang ber'cinta' seawal darjah lima.

Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini.

Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu.

Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima.

Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat.

Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja.

Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam.

Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman.

Aduh! Saya menjadi semakin bingung.

Benarkah ini semua?

Erti couple, cinta dan perkahwinan

Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti.

Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam.

Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa.

Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.

Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini.

Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal.

Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.

Islam dan Cinta

Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan.

Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.

Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet?

Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?

Bercinta adalah berkasih sayang.

Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri?

Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri.

Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta?

Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya.

Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing - lelaki dalam hidup seorang wanita.

Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya.

Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling).

Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan.

Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini).

Perkahwinan yang memang bergelora.

Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.

Jual mahal?

Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber'boyfriend', maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal.

Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.

Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber'boyfriend' itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih?

Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan?

Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?

Isu yang berat untuk difikirkan bersama.

Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :

"Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya".

Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah.

Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya.

Comments

Popular Posts