Sisi komersial muzik tradisional

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


ALUNAN lagu Seruling Anak Gembala dendangan Jeffry Din daripada gelombang radio Klasik Nasional menyusup ke telinga Zainal Ariffin.

Lagu itu menggamit memori indah zaman remaja Zainal, 68. Baginya, memori yang diputar kembali itu bagaikan semalam berlaku.

Ketika beliau berusia 17 tahun, industri seni begitu rancak dengan irama pop yeh yeh 60-an.

Pantang ada berita penganjuran konsert artis tempatan seperti A. Ramlie, Jeffry Din mahupun Ahmad Jais, Zainal dan rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang.

Sebaik konsert yang berlangsung di Stadium Merdeka atau Stadium Negara berakhir, Zainal dan rakan-rakannya akan pulang ke rumah sambil berangan dengan lagak seolah-olah menjadi artis pujaan mereka itu.

Zainal akan berlagak seperti memetik gitar sambil rakan-rakan lain akan mendendangkan lagu-lagu seperti Kenangan Ku, Mas Mona dan Oh Fatimah.

"Ketika itu, fesyen artis turut menjadi ikutan kami. Dengan seluar berpotongan ketat atau boot cut kami akan menyanyi di kawasan kampung. Bila teringatkan kembali zaman lalu, terasa lucu juga," jelas bapa kepada dua cahaya mata itu kepada Kosmo! ketika di temui di Hotel Pan Pacific, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Itu antara detik awal pembabitan pengurus syarikat Suara Suara Otai itu melibatkan diri dalam muzik. Sehinggalah dia berpeluang melibatkan diri sepenuhnya dalam muzik selepas berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dahulu, peluang saya untuk menceburi bidang ini amat terhad. Sukar untuk bertemu kelas-kelas seni tradisional.

ZAINAL menggalas tanggungjawab meneruskan legasi muzik tradisional Melayu.

"Sehinggalah ketika berkhidmat di direktorat penguatkuasaan DBKL, saya mula menyertai kumpulan Pancaragam Bandaraya. Penglibatan saya pada ketika itu tanpa pendidikan formal dalam bidang muzik," katanya yang turut memainkan instrumen seksafon dalam kumpulan tersebut.

Walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam seni muzik, Zainal cepat belajar. Semua alat muzik yang 'disentuhnya' dapat dikuasai dalam tempoh yang cukup singkat.

Beliau juga mampu bermain hampir kesemua alat muzik tradisional dan moden. Pada masa yang sama, beliau juga menguasai nota-nota muzik meskipun tanpa mempelajarinya di dalam kelas.

Rakan-rakan yang berpengalaman menjadi orang yang bertanggungjawab mengajar beliau membaca nota-nota muzik. Usahanya ternyata bukan mudah, ruang waktu bersama rakan-rakan sering dikekang kesibukan. Sehubungan itu, beliau perlu mencari waktu yang sesuai untuk mempelajari muzik.

"Saya berusaha keras untuk mendalami seni muzik tradisional. Kini saya boleh mengalunkan sebarang lagu dengan berpandukan nota muzik.

"Alhamdulilah, bakat yang dikurniakan Tuhan membuatkan saya mudah belajar bermain alat muzik," ujar Zainal yang turut menguasai irama muzik asli, cak lempong dan keroncong.

Berkat kerja kerasnya itulah, hari ini Zainal menyediakan perkhidmatan persembahan tradisional.

Atas label Suara Suara Otai, Zainal sibuk mendidik anak-anak muda menguasai pelbagai peralatan muzik tradisional pada hujung minggu. Beliau juga giat menyiapkan studionya di Taman Greenwood, Batu Caves, Gombak, Selangor.

"Saya ingin menghidupkan kembali persatuan muzik yang telah terkubur di sini. Dahulu, aktiviti kesenian aktif di Gombak," katanya yang membuat persembahan secara purata lima kali seminggu.

DARI kiri: Roshilmi, Mira Izad, Zam Zam dan Zainal ketika membuat persembahan di Hotel Pan Pacific KLIA.

Comments

Popular Posts