sambungan...

Permintaan tinggi

Zainal menegaskan, aliran seni muzik tradisional hari ini mendapat permintaan yang tinggi. Jika dibandingkan sebelum ini, persembahan muzik tradisonal hanya dipersembahkan di pusat-pusat kebudayaan sahaja.

Suara Suara Otai menerima banyak tawaran di hotel-hotel, restoran-restoran, syarikat-syarikat korporat dan di majlis rasmi.

"Siapa kata muzik tradisional tiada tempat dalam masyarakat moden? Hari ini ia dijadikan aset untuk menarik pelancong.

"Melihatkan permintaan persembahan yang tinggi, saya percaya irama tradisional akan diterima ramai," kata lelaki yang turut menggemari lagu pop berjudul Cari Jodoh daripada kumpulan Wali Band.

Zainal melalui syarikatnya itu akan berusaha memenuhi setiap permintaan untuk melakukan persembahan bagi memastikan muzik Melayu sentiasa malar.

Turut menerapkan elemen moden dalam persembahannya, Zainal yakin bahawa cara itu dapat menarik minat anak-anak muda.

Apakah inisiatif Zainal bagi memastikan irama itu terus diterima ramai? "Melalui Suara Suara Otai, kelas mengajar kanak-kanak mendalami ilmu seni persembahan seperti keroncong, cak lempong dan kompang diwujudkan," kata Zainal.

Keterujaan mewarisi alunan tradisi masyarakat Melayu itu turut dikongsi oleh Noor Shahidah Osman, 45.

Bagi pemilik nama komersial Mira Izad itu, sejak kecil muzik tradisional sudah sebati dalam dirinya.

Ketika berusia 12 tahun beliau telah diberi peluang untuk membuat persembahan nyanyian di majlis perkahwinan rakan sekampungnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Saat diberikan tugasan itu, Mira mengakui dia tidak yakin untuk mendendangkan lagu berjudul Kasih Ibu di khalayak. Namun, berbekalkan bakat yang dimilikinya persembahan itu menerima pujian ramai tetamu.

Kehalusan muzik tradisional

Rentetan daripada pengalaman itu, Mira bersemangat untuk meneruskan perjuangannya dalam dunia seni tradisional. Bagaimanapun, penglibatan awal Mira lebih tertumpu kepada bidang tarian.

"Saya menyertai kumpulan tarian Astakasari ketika berada di Pulau Pinang. Dari situ saya mula menimba pengetahuan dalam muzik tradisional," ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Penglibatannya dalam seni muzik membawa Mira Izad ke luar negara.

ZAINAL (kanan) berkebolehan bermain semua alat muzik tradisional.

Sejak tahun 1985 beliau telah melakukan persembahan di Dubai, Jepun, Indonesia dan Australia.

"Tawaran daripada Lembaga Pelancongan Malaysia itu kerana kebolehan saya dalam seni suara tradisional. Ia adalah sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia," ujar anak sulung daripada tujuh adik beradik itu.

Setelah 33 tahun berkecimpung dalam dunia seni tradisional, Mira mampu berbangga dengan kejayaannya sendiri. Selain aktif menyanyi beliau turut menguruskan sebuah syarikat pengurusan majlis yang dikenali sebagai Mas Event Management.

Bagi seorang pemuzik separuh masa yang sering menyertai persembahan bersama Suara Suara Otai, Roshilmi Yusof, 43, beliau mengakui bahawa muzik tradisional cukup halus tetapi alunan muziknya lebih kompleks.

Setiap rangkap lagu-lagu tradisional mempunyai tempo yang berbeza-beza berbanding irama pop yang ringkas.

"Sekiranya kita tahu bermain muzik moden ia tidak bermakna kita tahu bermain muzik tradisional. Sebaliknya jika kita mahir mengalunkan muzik tradisional kita akan tahu bermain alatan muzik moden," ujar kontraktor dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Beliau menyertai persembahan tradisional seperti keroncong, cak lempong dan muzik asli kerana minat yang mendalam dalam bidang seni. Rosyilmi menyedari beliau bertanggungjawab menjadi legasi muzik tradisional dan akan terus berdiri memelihara warisan itu bersama-sama Zainal dan Mira serta insan-insan seni lain.

Comments

Popular Posts