MASA mula-mula mengenali "SUPERVISOR"

Siri 1 : Mesir Bumi Anbiya’
By Jufitri bin Joha


Sumber : Majalah I Luv Islam 26 November - 2 Disember 2010 / 19-25 Zulhijjah 1431 H

Semasa berada di bangku universiti, saya selalu berdoa agar diberikan kesempatan oleh Allah melawat tiga tempat iaitu Mekah, Madinah dan Mesir. Ini tiga tempat yang selalu meniti dibibir saya apabila berdoa kehadrat Allah. Saya yakin ketiga-tiga tempat ini menjadi idaman setiap umat Islam yang cintakan Iman dan Ilmu. Mungkin doa saya untuk ketiga-tiga tempat ini banyak dipengaruhi oleh kehadiran puluhan ulama ke bumi Rembau penuh adat di mana saya dan ibubapa mendiaminya. Dari Dr Umar Hashim, mantan Rektor al-Azhar Syarif Mesir sehingga Almarhum Sheikh Dr Muhammad Alawi al-Maliki, ulama besar Hijaz ini pernah menjejakkan kaki mereka yang mulia ke daerah Rembau. Ini menguatkan lagi azam dan tekad saya untuk menziarahi ketiga-tiga tempat tersebut.

Selepas bergelar graduan di bidang Undang-Undang, saya dilamar oleh Presiden ABIM kelima Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman untuk bertugas sepenuh masa di medan dakwah ini. Saya masih ingat tidak sampai tiga bulan saya bertugas di ABIM saya telah ditawarkan untuk menyertai Khemah Kerja Belia Antarabangsa di Mesir. Wah,,Allah sudah mula mengkabulkan doa saya, tapi mengapa Mesir dahulu dan tidak Mekah atau Madinah? Apa pun hati saya amat berbunga-bunga dan ‘gumbira’ dengan perkhabaran baik dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia tersebut.

Tugasan yang harus disandang sebagai duta kecil belia Malaysia saya terima dengan penuh amanah dan keinsafan. Inilah kemunculan sulung saya di pentas antarabangsa ibarat seorang pemain bola dengan ‘CAP’ pertamanya sudah tentu satu pengalaman yang amat berharga. Apa tidaknya impian untuk menjejakkan kaki ke Universiti al-Azhar dan menonton secara langsung piramid yang hanya dibelek melalui buku-buku dan majalah kini sudah berada di hadapan mata.

Mengikuti Khemah Kerja Belia di Hurghada, sebuah bandar peranginan 500 kilometer ke Selatan Kaherah merupakan satu pengalaman yang amat mengujakan. Bertemu dan berbincang dengan belia dari seluruh dunia termasuk Finland, UAE, Perancis, Sudan dan Kuwait pantas membuka minda serta meluaskan pandangan sarwa alam dan yang paling penting memberikan idea yang baru dan segar sebagai bekal untuk dibawa pulang bagi membangunkan belia di Malaysia.

Seusai Khemah Kerja Belia, saya tidak melepaskan peluang memanfaatkan setiap inci masa dan ruang menziarahi maqam ribuan para ulama yang bersemadi di bumi anbiya dan firaun ini. Walaupun peserta Malaysia yang lain lebih berminat untuk ‘bershopping’ tetapi saya lebih menghargai menziarahi maqam-maqam ulama dan pejuang-pejuang tersohor dalam lipatan sejarah Islam seperti Imam Hasan al-Banna, Sheikh Ibn Atoillah Iskandari, Sheikh Abbas Mursi, Dr. Abdul Halim Mahmud dan ribuan lagi yang tidak mampu saya ungkapkan di sini yang sudah tentu apabila nama mereka disebut, turun rahmat Allah.

Namun apa yang penting dari kembara sulung saya ini bukan sekadar melihat peninggalan sejarah, namun apa yang lebih penting meneladani keperibadian Nabi Musa alaihissalam dan para ulama dan menyempadani kemusyrikan Firaun serta ketamakan Qarun sebagai satu bekalan berharga untuk dikongsi bersama generasi muda di Malaysia. Atas semangat ini saya dan rakan-rakan menubuhkan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dan Mesir kekal menjadi ingatan saya. Setelah 7 tahun berlalu, saya yakin saya akan kembali semula ke bumi Mesir ini kerana sesiapa yang minum air Sungai Nil pasti akan kembali semula ke bumi yang diberkati tersebut.

Comments

Popular Posts