susulan dr blog ABG ju... seorg yg sgt aq hormati dan ingin semgt selalu sepertinya.. MAMPUKAH AKU??

Siri 4 : Batam dan Dialog Dakwah Serantau
By Jufitri bin Joha

Sumber : Majalah I Luv Islam 17-23 Disember 2010 / 11-17 Muharram 1432 H

Seingat saya Batam, merupakan destinasi ketiga saya ke luar negara selepas pertama kali ke Mesir dan kali kedua ke Singapura. Perjalanan ke Batam dari Singapura hanya mengambil masa 40 minit. Kembara kali ini adalah untuk mewakili ABIM menghadiri Dialog Dakwah Serantau (DDS).

Pengembaraan merupakan satu perkara yang amat dianjurkan dalam Islam seperti firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 20, “Berjalanlah di bumi dan perhatikanlah bagaimana Allah memulakan ciptaan, kemudian Allah mencetuskan pula ciptaan sekali lagi”. Dengan banyak mengembara, generasi muda bukan sahaja dapat memperkayakan ilmu dan pengalaman tetapi juga membuka minda, memperluaskan pandangan kehidupan, mempertajamkan mata hati, memugar idea-idea baru dan mendekati Allah melalui alam hebat ciptaanNya.
Batam yang terletak di Indonesia merupakan sebuah pulau terbesar di gugusan kepulauan Riau. Semenjak kecil saya sering mendengar rancangan Salam Muhibbah RTM dengan Radio Riau, namun saya tidak dapat meneka dengan tepat di mana sebenarnya kedudukan Riau. Namun bila berpeluang ke sana beberapa tahun yang lalu, saya menyedari kedudukan Pulau Batam hanyalah kurang sejam menaiki bot ke Selatan Singapura.

Batam pada asalnya merupakan sebuah pulau yang relatifnya miskin namun setelah diisytiharkan sebagai ‘free trade zone’ pada 1989, ia pantas merubah landskap ekonomi dan sosial Batam. Saya menyaksikan sendiri kepesatan pembangunan Batam dengan kesibukan kegiatan ekonomi hariannya dan keghairahan pembinaan bangunan-bangunan baru. Kerancakan ekonomi Batam dipercepatkan lagi dengan Batam sebagai destinasi popular di Indonesia dan paling banyak menerima ketibaan pelancong.

Berdasarkan fakta sejarah, Batam pernah bernaung di bawah Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-13 yang kemudian bertukar tangan kepada Kesultanan Johor yang memerintah sehingga kurun ke-18. Maka tidak hairanlah dialek percakapan orang di sana hampir menyamai dialek pertuturan masyarakat Melayu di Malaysia. Hampir tidak kedengaran dialek Indonesia yang biasa dipertuturkan di propinsi-propinsi Indonesia yang lain. Bahkan ketika saya ke sana, lagu Siti Nurhaliza amat digemari dan dimainkan di corong radio di resort-resort peranginan.

Dialog Dakwah Serantau (DDS) berjaya menjadi platform efektif pertemuan aktivis-aktivis dakwah serantau yang meliputi dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Malaysia. DDS menjadi medan para aktivis dakwah berkongsi pengalaman dakwah di negara masing-masing bagi mencari solusi kepada permasalahan umat di samping mengupas isu-isu mendasar seperti pendidikan, ekonomi dan sosial. Batam bukan sahaja menjadi pusat perkembangan ekonomi keduniaan bahkan ia diimbangi dengan Batam sebagai pusat DDS. Ini dibuktikan dengan kesediaan Wali Kotanya (Datuk Bandar) menjadikan Batam sebagai tuan rumah pertama DDS kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah kawasan Nusantara Melayu.

Batam dan Kepulauan Riau ini kaya dengan khazanah warisan sejarah dan kebudayaan Melayu yang seharusnya diterokai oleh generasi muda melalui pengembaraan dan kajian. Antara mauduk atau tajuk yang amat sesuai digali oleh generasi muda ialah tentang keperwiraan dan kesarjanaan Raja Ali Haji yang terkenal dengan karya agungnya Tuhfat an-Nafis. Mungkin Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) boleh memainkan peranan mengkaji ketokohan Raja Ali Haji dan memperkenalkannya kepada generasi Y. GPTD yang saya diterajui merupakan sebuah pentas anak muda untuk mengkaji tamadun-tamadun hebat dan ketokohan pemuka-pemuka ilmu serta pejuang-pejuang Islam silam. GPTD boleh dilayari di http://gptd.blogspot.com.

Comments

Popular Posts