Sekolah pondok pilihan di Myanmar

Pendidikan Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

2011/02/28

(Yang mengikuti Jelajah Maulidur Rasul YADIM ke Kawthaung, Myanmar, baru-baru ini)

IBU bapa beragama Islam di Myanmar terutama keturunan Melayu memilih pendidikan pondok untuk anak mereka sebaik kanak-kanak itu menghabiskan sesi persekolahan wajib.

Salah satu pondok berkenaan ialah Madrasah Al Tarbiyah Addiniah Tanjung Badak, 10 Batu, Pulau Dua.
Pulau Dua atau Kawthaung menjadi tempat tinggal kebanyakan penduduk Islam keturunan Melayu terletak dalam Bahagian Tanintharyi (Tanah Seri), iaitu wilayah paling selatan di Myanmar.

Pelajar pondok berkenaan Arip Mohamad Yusof, 15, berkata dia mahu mendalami pengajian al-Quran dan fekah dengan mengikuti pengajian di Madrasah Al Tarbiyah Addiniah Tanjung Badak.

Dia yang berasal dari Kampung Tanjung Badak berkata, pengajian agama itu memberi pengetahuan mendalam yang tidak diperoleh di sekolah kerajaan.

“Saya berharap dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di tempat lain termasuk di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Pulau Dua, Myanmar, baru-baru ini.

Pulau Dua dinamakan Kawthaung dalam bahasa Burma atau Thai dikenali sebagai Victoria Point ketika pentadbiran British di Burma.
Pekan itu terletak di muara Sungai Parchan menghadap Laut Andaman dengan berjiran bandar Ranong di Thailand.

Bapa Arip, Mohamad Yusof Sidun, 37, berkata dia mahu anak tunggalnya itu mendalami ilmu Syariah, asas bahasa Arab dan bacaan al-Quran serta bahasa Melayu sebelum meneruskan pengajian lebih tinggi.

Katanya, Arip mengikuti pengajian pondok sejak berusia 10 tahun sebaik saja tamat pengajian rendah wajib di sekolah kerajaan.

“Sistem pendidikan pondok di Myanmar menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar kerana penduduk Melayu di Pulau Dua memang menggunakan bahasa ini di rumah.

“Bagi penduduk Melayu Pulau Dua, kebanyakan nenek-moyang mereka berasal dari utara Semenanjung Malaysia terutama Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya yang kini bekerja di Dungun, Terengganu.

Sementara itu, guru agama Madrasah Al Tarbiyah Addiniah Tanjung Badak, Mohamad Noor Abdul Mutalib, 43, berkata sekolah pondok berkenaan mempunyai kira-kira 60 pelajar.

Katanya, pelajar mengikuti pengajian kira-kira lapan jam sehari bermula 8 pagi.

“Bagi kanak-kanak yang mengikuti sekolah kerajaan, mereka belajar agama selepas solat subuh, iaitu sebelum waktu sekolah kerajaan yang bermula 8 pagi,” katanya yang juga lulusan madrasah di Patani, Selatan Thailand.

Comments

Popular Posts